Karangan autobiografi adalah karangan perihal sesuatu objek tidak bernyawa seperti pen, basikal, komputer, jam tangan dan sebagainya yang diberikan watak atau perjalanan hidup seolah-olah kehidupan manusia yang berperingkat.

Berikut adalah contoh karangan autobiografi UPSR yang menjadi sebahagian daripada kandungan pengajaran penulisan Bahasa Melayu di sekolah rendah.

Tajuk : RIWAYAT HIDUPKU

Aku sebuah alat jalur lebar atau modem mudah alih. Saizku kecil sahaja, kira-kira sebesar ibu jari orang dewasa. Tubuhku berbentuk bujur dan berwarna putih. Aku dilahirkan di sebuah kilang elektronik di utara tanah air. Aku dibawa ke Plaza Low Yatt, Kuala Lumpur setelah seminggu dilahirkan. Di sinilah aku dipamerkan kepada orang ramai.

Aku berfungsi sebagai medium untuk mengakses komputer kepada jaringan internet. Aku mudah dibawa ke mana-mana sahaja kerana saizku yang kecil dan tidak memerlukan sebarang wayar untuk mengaktifkan aku. Aku hanya memerlukan sekeping kad sim yang lazimnya digunakan untuk telefon mudah alih selain pengaktifan laman sesawang dengan mana-mana syarikat telekomunikasi.

Setelah dua hari aku dibawa ke sini, aku didatangi seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an. Dia amat berhasrat untuk memiliki jalur lebar mudah alih. Daripada perbualannya, aku dapat mengagak bahawa lelaki itu seorang wartawan akhbar. Setelah mendengar penerangan daripada promoter jualan, akhirnya dia bersetuju untuk membeliku.

Aku berkhidmat tidak kira siang dan malam kerana dia melanggan talian tanpa had. Dia mencucuk tubuhku pada komputer ribanya. Maka, bermulalah pelayaranku di internet. Aku membantunya mencari pelbagai maklumat dari dalam dan luar negara. Aku digunakan untuk menghantar bahan berita ke meja pengarang juga. Selain itu, aku setia menghubungkan tuan aku dengan para kenalannya di seluruh dunia.

Suatu hari, tuan aku singgah di sebuah pusat beli-belah. Aku ditinggalkan bersama-sama dengan komputer ribanya di dalam kereta. Tiba-tiba, cermin kereta tuanku dipecahkan. Seorang lelaki yang tidak dikenali mengambil komputer riba yang berisi aku sebelum melarikan diri. Aku berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan tuan aku. Aku tidak tahu akan nasibku selepas ini.

 


Post a Comment

أحدث أقدم